Wednesday 9 November 2011

GenX-4 (KOOL,Nico,AtoZ dan Shades) Press Release

GX4 BERGABUNG HASILKAN ‘INTEGRITI’
Kebangkitan penyanyi berkumpulan semakin berkembang dalam arena seni suara tanah air, apatah lagi pelbagai program realiti televisyen sering dianjurkan untuk mencungkil bakat penyanyi berkumpulan, termasuk rancangan Gangstarz yang pernah menjengah dua musim yang menyaksikan munculnya kumpulan seperti One Nation Emcees.
  Bagaimana pun, ini tidak mematahkan semangat penggiat muzik terdahulu yang pernah muncul dalam bentuk sama, malah menganggap kehadiran mereka semula sebagai pembakar semangat untuk sama-sama mencecah puncak kejayaan dan menggunakannya sebagai tapak terbaik untuk melangkah lebih jauh.
  Mengambil keputusan untuk bergerak secara bergabung, empat kumpulan yang pernah popular sedikit masa dulu iaitu Shades, KOOL, AtoZ dan Nico, kini lebih selesa dengan tertubuhnya  GX4 bagi mengukuhkan nama mereka kembali di arena seni.
  Mereka yang ditemui baru-baru ini meluahkan rasa gembira kerana lagu mereka iaitu Integriti  mula mendapat perhatian setelah diputarkan menerusi corong radio.
  “Kami bekerjasama dengan Sheikh Qalam Records dalam single ini, malah kami turut terlibat dalam banyak aspek pembikinan lagu ini.
  “Inilah hasil usaha kami setelah sekian lama tidak muncul dengan lagu baru kerana terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing,” kata GX4.
  Menurutnya lagi, mereka mengambil masa agak lama memandangkan banyak perkara perlu diselesaikan termasuk pencarian material, selain berbincang dengan semua anggota keempat-empat kumpulan agar kata sepakat dicapai.
 

“Boleh dikatakan kami berpuas hati dengan hasil kerja ini memandangkan kami bebas membuat keputusan dari segi hala tuju muzik dan imej.
  “Malah, kami mementingkan kualiti agar produk yang kami keluarkan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja,” ujar mereka.
  GX4 menampilkan gabungan irama asas kumpulan masing-masing seperti rap, R&B, raggae dan pop berwajah Malaysia, lebih mengenengahkan elemen bunyian semasa untuk memberi kelainan berbanding kumpulan baru sedia ada.
Apabila ditanya mengenai persaingan yang cukup rapat dengan kumpulan lain yang turut menampilkan irama yang mungkin seakan-akan GX4, mereka langsung tidak mahu dibandingkan dengan mana-mana kumpulan memandangkan ada perbezaan dari segi irama dan imej.
“Walaupun banyak kumpulan yang lahir hari ini, sudah tentu kami mempunyai kelebihan tersendiri memandangkan kami sudah lama berada dalam industri dan nama kami terlebih dahulu dikenali ramai.
“Itu tidak bermakna kami memandang rendah kemampuan artis baru, Cuma kami ingin bersaing secara sihat dengan memberikan yang terbaik kepada peminat yang sudah lama menantikan kemunculan kami semul,” ujar mereka lagi.
Bagi GX4, tampil sebagai penghibur lebih baik jika jika sekadar dilabel sebagai penyanyi dan pelontar irama rap sahaja, membuatkan mereka mengambil jalan menyatukan muzik, nyanyian dan tarian bertenaga sekali gus kerana elemen itulah yang membuktikan mereka mampu menjadi penghibur yang baik.
Menyentuh peredaran muzik yang sering mengikut arah aliran, mereka turut menekankan soal kelainan berbanding kumpulan lain yang ternyata lebih kepada genre pelbagai mengikut arus semasa.
“Kami memang memiliki genre dan imej tersendiri bagi setiap kumpulan, tetapi tidak semestinya kami mesti mementingkan diri ketika membuat persembahan memandangkan kami ada cara berbeza dalam mengekspresikan muzik cara kami.
“Sebab itulah kami selalu berkongsi pendapat dengan semua ahli kumpulan,” kata GX4 dengan penuh semangat.
Kini kerjaya seni mereka lebih tersusun dengan menjalinkan kerjasama dengan Universal Music Malaysia yang menjalankan promosi dan pengurusan rakaman album bersama Sheikh Qalam Records.
Mengenai GX4
Kumpulan ini gabungan empat kumpulan iaitu Shades, Kool, Nico dan AtoZ menjadi satu jenama iaitu GX4 (Generasi X-4). Ini kerana ahli GX4 terdiri daripada mereka yang lahir antara tahun 60-an dan 70-an, dan mereka yang lahir dalam lingkungan tahun itu dipanggil Generasi X. Manakala nombor empat membawa maksud kepada empat kumpulan terlibat.
Justeru , mereka melahirkan sebuah syarikat usahasama empat kumpulan tersebut yang dinamakan GX4 Alliance, yang juga inisiatif Riot Kool yang mengusulkan menyatukan keempat-empat kumpulan dalam sebuah rakaman lagu tema yang bertajuk ‘Integriti’
GX4 turut melihat bahawa kelebihan yang ada ini bakal membawa kepada sebuah persembahan pentas yang amat unik kerana membekalkan kepada penonton hiburan yang merangkumi empat buah genre muzik iaitu R&B Pop (SHADES), Dance Pop (Kool), KL Gangsta Rap (Nico) dan Ethnic Pop Fusion (AtoZ) dan masih mempunyai keahlian yang sama iaitu:
SHADES : Izzee, Saiful, Nazrae & Jeri
KOOL : Jay, Riot, Hairi & Zack.
NICO : Nico, Affa & Dino
AtoZ : Lan, Jeff & Chap
Kumpulan SHADES kumpulan penyanyi Malaysia yang popular dengan cara nyanyian harmoni dan acapella. Dinobat sebagai kumpulan acapella pertama negara ini, Shades melahirkan tiga album, antaranya berjudul Shades dengan lagu popular mereka ‘Jangan Ucap Selamat Tinggal’ dan ‘Malam’. Album kedua, ‘Yang Teristimewa’ berjaya meraih gelaran 'Artis Baru Terbaik' pada Anugerah Industri Muzik 1996 selain album ketiga berjudul Shades 2001.
Kumpulan NICO atau Network International Chicanos Organisation (NICO) sebelum ini juga  merakamkan tiga album seperti Buatan Los Angeles (1993), Realiti (1995) dan Alamak! (1996) sebelum pada 2003 kumpulan Nico kembali dan merakamkan album baru bertajuk Ops Kecoh.
Kumpulan A to Z pernah menyandang dua anugerah dalam industri muzik Malaysia di RTM dan pada Anugerah Juara Lagu. Lagu-lagu popular Berdendang, Itik gembo-gembo, Darjat, Iyoko dan Mai Dok.
Kumpulan KOOL atau Kami Orang-orang Lama pernah melahirkan tiga buah album berjudul Bebas, Satu Arah dan Fantasi serta pernah memenangi Anugerah Juara Lagu 1996 untuk kategori Pop Rock



1 comments:

Unknown said...

nak download full album :) leh bg link?

Post a Comment