Friday 13 January 2012

Integriti GX-4




Integriti GX4

Oleh AMIRUL HASWENDY ASHARI haswendy@hmetro.com.my


MEREKA antara kumpulan vokal yang digilai remaja sekitar 1990-an. Mereka juga kumpulan vokal terawal mempelopori genre vokal berkumpulan yang menyanyikan lagu pop dan balada. Jika 
gelombang K-pop baru hendak diperkatakan, M-pop sudah lama wujud. Namun dek evolusi muzik 
dikecapi industri hiburan tanah air, perlahan-lahan nama mereka mula tenggelam mengikut 
peredaran zaman. Bila mereka mengambil keputusan kembali bergabung di bawah satu nama
GX4 (Generasi X-4), kumpulan Kool, Nico, Shades dan AtoZ mahu memecah kembali kebuntuan
yang wujud. “Idea GX4 sebenarnya datang daripada Riot Kool. Selepas berbincang dengan Sheikh 
Kalam setahun lalu, baru kami dapat realisasikan projek ini. Kerana peminatlah, kami masih ada 
di sini. “Setiap kali bertemu mereka melalui laman sosial contohnya, mereka selalu bertanya bila
kami akan muncul semula. Ada juga yang bertanya apakah kami sudah berkubur,” kata Hairie 
daripada kumpulan Kool. Riot menambah, dulu mereka selalu bersaing antara satu sama lain 
dan pernah bercita-cita untuk membuat konsert bersama-sama. Malah hampir setiap kali 
berkongsi pentas dengan tiga kumpulan lain, cadangan sama diajukan.
“Namun ketika itu, masing-masing terikat dengan syarikat rakaman dan bila tamat kontrak, kami
berbincang lagi. Apa yang kami rancang dulu dibawa ke depan. Yang penting, kami nak orang tahu
kami masih ada lagi dalam industri. “Sebagai langkah pertama, kami rakamkan single berjudul
Integriti. Ia menjadi lagu tema kami dan menyusul pula lagu Kerana Kasihmu untuk dipertaruhkan 
GX4. Integriti bermaksud kejujuran, oleh itu kami mahu tunjukkan kejujuran GX4 untuk terus berada
di sini,” kata Riot yang lebih dikenali sebagai Michael Jackson Malaysia.

Nama GX4 dipilih atas sebab semua mereka dilahirkan sekitar 1960-an dan 1970-an dan mereka
yang dilahirkan ketika itu dikenali sebagai generasi X. Oleh itu, gabungan empat kumpulan yang
lahir pada era itu menjadi GX4. Menariknya, gabungan mereka bukan hanya pada satu genre, malah 
semua genre asal setiap kumpulan ketika awal kemunculan tetap dikekalkan. Pasti ada yang ingat 
pada genre pop RnB oleh Shades, Rap Gangsta oleh Nico, Etnik Pop Fusion oleh AtoZ dan Dance
Pop oleh Kool. “Pada 1990-an, bila muzik baru dikeluarkan, pendengar ketika itu adalah pelajar 
sekolah dan bila dewasa ada yang masuk kolej, universiti dan ada yang bekerja. Bila berada di 
tahap dewasa, mereka beranggapan muzik dan genre itu sudah terkubur. “Bila kami muncul dengan
GX4, baru pengikut kami dulu sedar sebenarnya kami tidak pernah terkubur dan masih wujud 
hingga ke hari ini,” kata Affa mewakili kumpulan Nico. Jika tidak terkubur, ke mana mereka sejak 
10 tahun lalu? Persoalan demi persoalan yang timbul dalam kalangan orang media dan peminat
mereka membuatkan ada yang beranggapan mereka sebenarnya berpecah. Hairie Kool dengan
pantas menolak dakwaan itu dan berkata, Kool tidak pernah berpecah atau terkubur, cuma membawa 
haluan masing-masing. Malah bila mereka perkenalkan diri, mereka masih kekalkan nama Kool 
supaya orang tahu mereka masih ada. “Contohnya, Zack Kool yang kini bergelar pelakon. Kalau 
sebut nama Zulkifli Mohamad, orang tidak kenal. Saya juga masih aktif dalam nyanyian dan sering 
membuat persembahan di kelab dan majlis rasmi. Riot Kool pun aktif dalam bidang persembahan 
dan dikenali sebagai Michael Jackson Malaysia. “Walaupun masing-masing ada komitmen sendiri,
Kool tetap ada dan GX4 membuktikan kami semua masih ada,” kata Hairie bersemangat. Kumpulan
yang popular melalui lagu Itik Gembo-Gembo dan Iyo Ko, AtoZ akui mereka tidak pernah berpecah dan 
masih wujud sampai ke hari ini. Walaupun dilanda pelbagai masalah dan dugaan, semangat AtoZ 
tidak pernah padam. “AtoZ tidak pernah berpecah, cuma kami digantung tidak bertali syarikat rakaman 
dulu. Kalau diikutkan, mereka masih berhutang tiga album dengan kami. “Memang kecewa tapi bila 
melihat semangat yang ditonjolkan rakan dalam GX4, kami kembali bersemangat. “Nak kumpul balik 
memang susah tapi dengan usaha gigih yang ditunjukkan, saya yakin AtoZ akan muncul kembali,” kata Jeff yang juga abang kepada dramatis popular, Zizie Ezzette. Dalam pada itu, kumpulan yang terkenal 
dengan irama acapella dan pernah meraih anugerah Artis Baru Terbaik dan tercalon dalam Anugerah 
Vokal Berkumpulan Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1996, Shades yang diwakili Izzee Sulaiman, 
Nazrae, Jeri Syaffizul, Shaun dan Wan berkongsi pendapat sama. Izzee yang juga Setiausaha Agung 
Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) berkata, sejarah membuktikan GX4 
antara kumpulan yang memulakan genre muzik ‘pop-dance’. Malah, bercerita mengenai pengalaman
lalu, ada di kalangan GX4 mendapat tawaran untuk meluaskan pengaruh ke luar negara. Cuma pada 
masa itu, kebanyakan syarikat rakaman tidak yakin dengan mereka. “Industri muzik kita sebenarnya tidak
yakin dengan produk kita sendiri. Kalau nak diikutkan, kita sama saja dengan artis luar negara lain. 
“Dulu kita bersaing antara satu sama lain melalui populariti sebab kualiti kita sama saja dengan yang lain. 
Bezanya, kami membawa genre berlainan. “Shades ketika membuat persembahan untuk AIM 1996 dulu 
pernah dicemburui kumpulan antarabangsa All4One yang dijemput khas kerana kami menyampaikan lagu 
secara acapella. “Sehingga menyebabkan program itu ‘over-run’ kerana mereka mengubah corak 
persembahan pada saat akhir semata-mata nak sampaikan lagu mereka dalam bentuk acapella juga!”
kata Izzee. GX4 bukan saja satu cara untuk mereka muncul kembali, malah sebagai contoh gabungan 
penyanyi profesional genre masing-masing bersatu hati. Menariknya, mereka turut menubuhkan syarikat 
yang diberi nama GX4 Alliance sebagai cara untuk memperkemaskan perjalanan dan pengurusan mereka. Selain bidang nyanyian, mereka memasarkan produk berkaitan seperti baju, topi, aksesori dan banyak lagi,
sebagai pendapatan tambahan kepada bakat sedia ada. Pada peringkat awal, GX4 dalam perancangan 
menghasilkan video klip untuk lagu Integriti dan Kerana Kasihmu. Kemudian, pada bulan ini, mereka juga  akan muncul untuk konsert di KL Life Centre.

0 comments:

Post a Comment